KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan masyarakat negara ini terhadap semangat saling menghormati dan menerima perbezaan yang harus menjadi tunjang memungkinkan perpaduan.
Dalam perutusan sempena perayaan Thaipusam esok, katanya, keunikan budaya dan amalan berbeza harus diraikan sebagai kekuatan dan bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
Menurutnya, ciri itu yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan di kesampingkan.
“Walhasil, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan menjunjung prinsip berdamping (coexistence).
“Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk memberi ruang bagi saling mengenali dan berkasih sayang, bukannya menyebar serta memicu kebencian,” katanya pada hantaran akaun laman sosial miliknya hari ini.
Anwar dalam masa sama turut mengajak semua rakyat untuk bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.
“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” katanya.
Anwar berkata Thaipusam bagi penganut Hindu tidak sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman, dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan selain turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan.
“Tidak hanya itu, Thaipusam turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan. Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan,” katanya.
Anwar berkata tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, negara menyaksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif, yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.