Tumpuan :
Nasional

Perompak surau tertinggal alat pecah masuk

Alat pecah masuk yang tertinggal perompak sebuah surau di Seremban Jaya dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.(Foto Ahmad Hasbi)

SEREMBAN: Suspek memecah masuk surau Taman Seremban Jaya, di sini, kelam- kabut meninggal lokasi sehingga tertinggal peralatan dan membiarkan syiling bertaburan di lantai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, penjenayah berkenaan bagaimanapun hanya sempat melarikan wang tabung, kira-kira RM200 di dua tabung.

Pengerusi surau, Mohd Rafi Mohd Baharin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sebelum solat Zuhur sebelum ia disedari imam satu.

“Sebaik diberitahu ahli jawatankuasa surau, saya bergegas ke surau dan mendapati dua tabung yang diletakkan di ruangan solat wanita dipecahkan. Terdapat duit syiling bertaburan atas karpet.

“Manakala wang kertas dianggarkan RM100 hingga RM200 dibawa lari. Terdapat kesan umpil di pintu utama, tabung dan almari,” katanya ketika ditemui hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren.

Mohd Rafi berkata, pihaknya sudah membuat satu laporan polis petang semalam.

Sementara itu, Gunasekaren berkata, pihaknya akan membekalkan kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan berikutan CCTV sebelum ini sudah rosak.

“Kita sudah membuat permohonan kepada pihak polis supaya rondaan secara berkala dapat dilakukan di lokasi supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kami akan menjalankan siasatan perkara ini. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) selain akan membuat rondaan secara berkala di kawasan itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini