comscore
Tumpuan :
Nasional

Perolehan ventilator ketika Covid-19 tuntut penjelasan menyeluruh – MMA

KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan ventilator yang dibekalkan kepada kerajaan ketika pandemik COVID-19 menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam satu kenyataan berkata, kegagalan 104 daripada 136 ventilator yang diperoleh itu berfungsi tanpa ada mana-mana pihak bertanggungjawab, menuntut penjelasan menyeluruh.

“Isu ini bukan sahaja membabitkan sejumlah besar dana awam tetapi mungkin memberi kesan ketara kepada pengurusan bagi kes COVID-19 yang teruk di negara ini.

“Adalah penting supaya isu ini tidak diketepikan dan kita mesti tegas supaya ada kebertanggungjawaban sepenuhnya,” kata Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz.

Berikutan itu, MMA menggesa dasar perolehan kecemasan yang kukuh dirangka segera bagi mengelak kes pembelian 104 ventilator gagal berfungsi tanpa perjanjian bertulis berulang.

“Urus niaga untuk perolehan ventilator mungkin berlaku pada masa paling luar biasa, namun jika proses perolehan biasa tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya dokumentasi sewajarnya mesti dibuat.

“Dokumen termasuk yang ditandatangani masih boleh dikongsi melalui WhatsApp. Jika Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tidak mempunyai pengalaman dalam perolehan peralatan perubatan, ia lebih menuntut dokumentasi yang sewajarnya disediakan untuk ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Ini menyerlahkan keperluan mendesak kepada dasar perolehan kecemasan yang kukuh bagi mengelak kejadian seperti itu berulang,” katanya.

Semalam, PAC melalui Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dibentang di Dewan Rakyat, mendapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Selain itu, tiada perjanjian bertulis dimeterai antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan syarikat pembekal, PLSB, manakala  perbincangan, penilaian serta keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan, iaitu melalui aplikasi WhatsApp.

Ia berikutan kekangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi pada waktu itu.

Malah, PLSB juga diarah membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator walaupun syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini