TAIPING: Perolehan pesawat tempur F/A-18D Hornet akan diputuskan selepas Kementerian Pertahanan memperoleh laporan lengkap daripada pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke Kuwait pada Jun lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya sedang menunggu laporan itu dan akan membuat keputusan berdasarkan laporan terbabit serta keperluan negara terutama dari aspek keperluan TUDM sendiri.
“Setakat ini kumpulan teknikal ada perkembangan dari Kuwait, cuma nanti akan buat keputusan berdasarkan (laporan) kumpulan teknikal yang telah pergi membuat penilaian dan kita sedang tunggu laporan secara keseluruhan.
“Selepas itu baru buat keputusan dari segi strategi perolehan sama ada bagaimana cara dan keputusan kita untuk membuat pembelian… jadi keputusan kita sama ada ada nak membuat perolehan dan sebagainya (perlu) ambil kira pelbagai faktor lagi,” katanya pada sidang media pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET) 2024 di sini hari ini.
Pada Jun lepas pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur itu.
Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Adly berkata ia akan dibahaskan di Parlimen minggu depan.
“Kita (Kementerian Pertahanan) akan memberikan penjelasan dan pelan perancangan kita menjelang 2050 sepertimana perancangan asal. Kita tahu ada banyak perkara yang dibangkitkan dalam laporan audit itu dan bagi kita memang kena ada penyelesaian dan akan dijawab di Parlimen minggu hadapan,” katanya.
Sementara itu, Adly berkata sebanyak 54 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima geran keseluruhan berjumlah RM270,000 menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) setakat tahun ini.
Beliau berkata kementeriannya melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) menyalurkan bantuan geran berjumlah RM170,000 kepada 34 usahawan veteran ATM di Perak hari ini.
“Program ini dari 2023 dan kita bawa ke 2024 dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kerana kita tahu dalam kalangan golongan veteran berpencen dan tidak berpencen terlibat dengan bidang keusahawanan.
“Terdapat pelbagai bidang yang mereka ceburi, jadi satu daripada cara untuk pastikan veteran kita terutama yang berpencen ini kekal dalam golongan M40 ialah dengan memastikan kerjaya kedua mereka (usahawan) dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa