Tumpuan :
Nasional

Perolehan empat helikopter mantapkan Operasi Udara Maritim di Perairan Sabah, Sarawak

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mendapatkan lima aset baharu iaitu empat buah helikopter dan satu kapal induk bagi memantapkan operasi agensi di perairan Sabah dan Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi berkata, kesemua aset itu diperoleh menerusi peruntukan berjumlah RM600 juta yang dilulus bagi mendapatkan perolehan empat helikopter berkenaan.

“Empat helikopter yang bakal diperoleh itu akan ditempatkan di Pangkalan Udara Maritim Sandakan bagi memantapkan lagi Operasi Udara Maritim Malaysia di perairan Sabah dan juga Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kesemua helikopter itu dijangka akan diperoleh dan akan ditempatkan di pangkalan berkenaan dalam tempoh 24 hingga ke 36 bulan.

“Perolehan tersebut telahpun dimuktamadkan dan ia akan diaturgerakkan ke Pangkalan Uadara Maritim Sandakan dalam tempoh 24 ke 36 bulan.

“Ketika ini kita hanya mempunyai satu sahaja pusat operasi udara maritim iaitu di Subang di mana helikopter-helikopter Maritim Malaysia ditempatkan ditempatkan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Kapal Peronda Luar Persisir (OPV1) Maritim Malaysia memasuki Kuching di Laut China Selatan di sini.

Kapal OPV berkenaan diterima Maritim Malaysia pada 8 Januari lalu akan melakukan penugasan di kawasan Beting Pertinggi Ali dan Beting Raja Jarum yang berada di kawasan zon ekonomi ekslusif Perairan Sarawak.

OPV1 adalah yang kelima jenis itu yang beroperasi ketika ini selain Kapal Maritim (KM) Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Bangi.

Manakala dua lagi kapal sama masih dalam pembinaan di Pulau Indah Klang dengan OPV2 kini sudah siap 76 peratus sementara OPV3 dalam 57 peratus.

Dua kapal yang dibina syarikat tempatan itu dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM740 juta.

Loading...
Terkini