comscore
Tumpuan :
Nasional

Perolehan darurat RM500,000 diluluskan bantu mangsa banjir

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan Perolehan Darurat RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada mangsa terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peruntukan berkenaan bagi memastikan barangan keperluan tambahan di stor, mini depoh dan pangkalan hadapan di semua daerah terjejas sentiasa tersedia.

“Petugas JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan terus memantau dan bersiap sedia sepanjang masa di kawasan yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Berhubung isu terputus pergerakan di Hulu Besut di Terengganu, Nancy berkata mesyuarat bersama Ketua Polis Negeri dan Ketua Jabatan Negeri petang tadi memutuskan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan digunakan bagi membantu JKM dalam urusan penghantaran bantuan.

“Agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan Majlis Daerah Kuala Terengganu yang mempunyai kenderaan besar atau lori besar akan berkumpul di Depoh Bencana JKM Marang untuk membantu mengagihkan makanan dan barangan.

“Bagi mangsa yang tidak sempat berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), mereka boleh berkumpul di premis awam lain seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan JKM bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana akan daftarkan PPS secara ad hoc untuk mereka mendapatkan makanan dan keperluan asas,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), luruan angin dan hujan lebat di Pantai Timur dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan kejadian ini kemungkinan menyumbang kepada peningkatan kawasan-kawasan yang akan terjejas.

Setakat malam ini, beberapa daerah di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Johor telah dilanda banjir. – BERNAMA

Loading...
Terkini