Tumpuan :
Nasional

Pernikahan pasangan Islam di luar negara, negeri lain diiktiraf di Sabah 

Datuk Mohd Arifin Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah

KOTA KINABALU: Urusan perkahwinan umat Islam di Sabah ditambah baik apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2023, semalam.

Menerusi pindaan baharu itu ia akan memberi beberapa kelonggaran untuk urusan perkahwinan termasuk mengiktiraf pernikahan pasangan dari negeri ini di luar negara.

RUU dibentangkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, menjelaskan pengiktirafan juga diberikan kepada pasangan yang bernikah di negeri lain dalam Malaysia.

Bagaimanapun, katanya pengiktirafan itu tertakluk kepada pematuhan hukum syarak dan kehendak undang-undang di negeri atau negara di mana pasangan terbabit bernikah.

“RUU ini juga menyediakan suatu peruntukan untuk memberi pengiktirafan kepada suatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara atau dalam mana-mana negeri lain dalam Malaysia sebagai suatu perkahwinan yang sah.

“Namun, pengiktirafan ini dibuat selagi mana perkahwinan itu selaras dengan kehendak undang-undang negara atau negeri terbabit dan tidak bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sabah, berkata perkara itu adalah antara pindaan dan peruntukan baharu dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 yang diguna pakai di Sabah sebelum ini.

Katanya, RUU itu turut menyediakan peruntukan yang lebih praktikal bagi mana-mana pemastautin Sabah yang berkahwin di luar negara untuk mengikut undang-undang yang disediakan di negara terbabit.

“Mereka hanya perlu mendaftarkan perkahwinan di negeri ini dalam tempoh enam bulan dari tarikh ketibaan mereka kembali ke negeri ini sebagai rekod yang sah menurut undang-undang negeri ini,” katanya.

Datuk Mohd Arifin semasa hadir persidangan DUN Sabah di Kota Kinabalu

Terdahulu, Mohd Arifin berkata RUU itu memberi punca kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melantik jurunikah dalam kalangan pendaftar dan mana-mana orang yang berkelayakan.

Katanya, selepas ini pelantikan jurunikah tidak lagi mengikut sempadan yang ditetapkan bagi kariah masjid, sebaliknya mengikut kawasan yang ditentukan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam.

“RUU ini turut memberi keluasan kepada pasangan yang hendak berkahwin untuk menjalankan akad nikah mereka di mana-mana daerah dalam negeri ini atau dalam mana-mana negeri lain di Malaysia tanpa tertumpu kepada tempat di mana pengantin perempuan bermastautin,”.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada kebenaran daripada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam, Hakim Syar’ie atau pihak berkuasa negeri.

RUU juga menyediakan peruntukan yang lebih jelas berkaitan fungsi Wali Raja iaitu bukan saja diperlukan bagi mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.

“Wali Raja juga diperlukan dalam mana-mana keadaan di mana hak wali berpindah kepada Wali Raja menurut hukum syarak,” katanya.

Selain RUU berkenaan, DUN Sabah turut meluluskan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 yang membabitkan pindaan dalam Seksyen 99, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2004 berkaitan kuasa mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian antara pihak yang terbabit di Mahkamah Syariah Sabah.

Loading...
Terkini