![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BTV3-NEW-12.jpg)
PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2025/2026 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline dibuka mulai Isnin, 10 Februari hingga 14 Mac, bagi permohonan Fasa Pertama dan dari 14 April hingga 18 Mei bagi Fasa Kedua.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan dua institusi MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Menurutnya, permohonan terbuka kepada pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, bagi semua program pengajian untuk permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau tanpa ujian, dibuka bagi Fasa Kedua.
“Semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
“Sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,131 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM atau setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan MARA BPT seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Pembelian Nombor Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 mesin teler automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN mulai 9 Feb sebelum mengemukakan permohonan.
“BSN akan mengeluarkan Nombor Pin berserta salinan resit pembayaran.
“Pemohon juga diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.