comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan TVET menerusi saluran tunggal mulai 30 Oktober

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan dokumen perjajian kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Antara Kerajaan Dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Dan Syarikat Swasta di Putrajaya.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menerusi satu saluran tunggal unit pengambilan mulai 30 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan boleh dibuat di portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) di https://mohon.tvet.gov.my.

“Permohonan ini bagi memasuki 1,334 institusi TVET seluruh negara berdasarkan pilihan peserta iaitu kursus yang mereka minati dan nama institusi TVET.

“Ini bagi mengelakkan daripada pertindihan permohonan dan kita lihat dari segi minat mereka di samping bagaimana supaya tidak berlaku ketidakpadanan kursus yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara Kerajaan bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta, di sini hari ini.

Permohonan TVET menerusi saluran tunggal mulai 30 Oktober

Tambahnya, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) yang dipengerusikannya hari ini, yang turut dihadiri ahli MTVET melibatkan barisan menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri dan tokoh akademia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan adalah berasaskan teknologi tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui dan kursus melibatkan permintaan pasaran guna tenaga terutama daripada pelabur asing
di negara ini.

Keputusan itu dibuat supaya pihak pelabur memperolehi pekerja mahir terlatih yang dapat terus diserap ke syarikat berkenaan.

“Kita menterjemah apa yang disarankan Perdana Menteri bukan sahaja dari segi tenaga boleh diperbaharui tetapi dalam pelan strategi perindustrian yang mana kita menjangka kedua-dua bidang ini akan memberikan kira-kira 3.5 juta peluang pekerjaan baharu dari sekarang hingga 2030.

“Untuk itu melalui majlis, saya telah arah sekretariat TVET negara menyediakan satu pelan roadmap (pelan hala tuju) bagi menterjemah dasar TVET negara 1.0 hingga 2030 dan selepas itu pelan sama melalui dasar TVET 2.0 iaitu hingga 2050,” katanya.

Jelasnya, kebolehpasaran graduan TVET meningkat melebihi 92 peratus manakala sebanyak 7.5 peratus daripadanya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Justeru, beliau mahu TVET dijadikan pilihan utama dan masa depan bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dan mengurangkan tahap pengangguran negara.

“Kita telah melakukan langkah proaktif termasuk mewujudkan dana pembiayaan ketika pembelajaran mereka di TVET dengan disekalikan elaun dan terdapat beberapa kursus yang digajikan dengan gaji lebih RM2,500 supaya terdapat pengekalan peserta dalam kursus berkenaan.

“Ini sedang dilakukan Kementerian Sumber Manusia dan kita akan selaraskan perkara ini di kementerian lain melalui agensi dan institusi TVET melalui kursus yang distrukturkan mengikut kehendak pasaran,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini