Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Permohonan Fasa 1 untuk mengikuti pengajian Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) sesi 2025/2026 dibuka bermula 1 Disember ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, permohonan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 itu dibuka selama tiga bulan sehingga 28 Februari 2025.
“Permohonan Fasa 2 dan pengemaskinian maklumat pelajar akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM diumumkan,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata, permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma.
Pelajar boleh memohon melalui laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my.
Bahagian Matrikulasi KPM akan mengeluarkan keputusan permohonan melalui laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM diumumkan.
“Pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Program Matrikulasi KPM perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat tawaran dan dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran Program Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.