Tumpuan :
Nasional

Permohonan pemerhati PRN enam negeri dibuka

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Permohonan sebagai pemerhati bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dibuka mulai hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan itu akan ditutup pada 7 Julai ini.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti penamaan calon, berkempen, pengundian awal, pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan rasmi undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.

“SPR mengingatkan agar mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperolehi di portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/.

Sebelum ini, Ikmalrudin memaklumkan, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRN di enam negeri terbabit akan dibuka bermula hari ini, yang perlu dibuat secara dalam talian di portal SPR.

Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media) ialah tiga hari sebelum hari penamaan calon, Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) pula ialah tiga hari selepas mesyuarat khas manakala bagi Kategori 1C (agensi/organisasi) ialah enam hari selepas mesyuarat khas.

“Tarikh mesyuarat khas urusan PRN bagi penetapan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Loading...
Terkini