comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan ‘fleet card’ membimbangkan, dikhuatiri beri kesan kenaikan harga barang

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa semua pihak yang layak memohon fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), untuk mendaftar secepat mungkin.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, ini kerana, jurang jumlah permohonan yang layak mendaftar bagi bantuan berkenaan dilihat amat membimbangkan dan ia dikhuatiri mampu memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

Beliau berkata berdasarkan data diterima KPDN setakat minggu lepas, hanya lebih 259,000 daripada 410,000 kenderaan yang layak, telah memohon untuk mendapatkan fleet card bagi bantuan subsidi diesel itu.

“Apabila mereka yang layak tetapi tidak memohon untuk mendapatkan fleet card bagi penyasaran subsidi tersebut, ada kemungkinan meninggalkan kesan kepada harga barang yang mereka tawarkan.

“…tidak perlu ada banyak lori atau kenderaan, kalau ada satu lori seberat satu tan pun layak untuk mohon (bantuan subsidi itu). Silalah memohon supaya ia boleh membantu untuk mengawal harga barang,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu sebuah restoran tempatan di sini hari ini.

Mengenai isu kelewatan pengeluaran fleet card, Fuziah berkata KPDN dalam proses rundingan bersama syarikat minyak yang terlibat, bagi menggesa mereka meningkatkan efisiensi serta mempercepat proses berhubung perkara berkenaan.

“Kita faham ada peningkatan permohonan (fleet card) dalam masa singkat, namun kita sudah minta syarikat pembekal minyak untuk bersama membantu kita percepatkan proses seperti menambah kakitangan dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Beliau turut menyarankan pengguna yang memiliki lori atau kenderaan sendiri yang layak mendapatkan fleet card untuk memohon cash card, sebagai alternatif.

“Cash card ini boleh digunakan untuk membeli diesel di stesen minyak dengan harga subsidi dan kad itu untuk mengesahkan sahaja…jadi ini antaranya jalan untuk membantu mereka yang memiliki satu lori,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini