comscore
Tumpuan :
Nasional

Permaisuri Johor ziarah kubur budak dipercayai mangsa dera

FOTO: NSTP

SEGAMAT: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, berkenan mencemar duli menziarahi kubur kanak-kanak yang meninggal dunia disyaki akibat didera, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gatom, di sini, hari ini.

Baginda tiba kira-kira jam 2.50 petang dengan diiringi isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam; Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat; dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

Ketibaan baginda disambut Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid; Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah; serta Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah. Raja Zarith Sofiah turut bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa yang berada di tanah perkuburan itu.

FOTO: NSTP

Selain itu, baginda bersama Khaleeda juga menyertai bacaan Yasin, bertahlil dan menyiram air mawar serta menabur bunga di pusara mangsa.

Baginda kemudian berangkat pulang pada jam 3.55 petang selepas meluangkan masa kira-kira sejam di tanah perkuburan itu.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, 48, berkata beliau gugup ketika bertemu Raja Zarith Sofiah dan disapa ramah oleh baginda.

“Selain itu, saya melihat isteri Pemangku Raja Johor menyapu air mata kerana sedih dan bersimpati atas kejadian menimpa mangsa,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, adalah akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Ia susulan hasil bedah siasat mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Loading...
Terkini