Tumpuan :
Nasional

Permainan ‘tuju’ selipar, ‘aci ligan’ imbau kenangan anak kampung era 90-an

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Permainan seperti bola bendang, ‘tuju’ selipar dan ‘aci ligan’ begitu sinonim dengan anak kampung yang membesar di era 90-an.

Mereka yang pernah melaluinya, pasti terkenang suasana riuh dan gelak tawa sewaktu meningkat dewasa dengan rakan sepermainan.

Suasana sebegitu meskipun hampir berlalu, namun masih dirasai ketika melalui jalan Kampung Darat, Beseri, di sini.

Hampir setiap petang, sekumpulan 15 orang kanak-kanak dilihat bermain pelbagai permainan ‘tanpa modal’ di dalam bendang yang masih kering dan berjerami.

“Sekarang ni depa (petani) dah ambil padi, jadi bendang ni kering kami boleh main di sini.

“Puas main sebab terasa lapang dari main atas padang. Main atas padang keras sikit, dalam bendang ni lembut sebab ada Jerami… Tak pakai kasut pun tak apa,” ujar salah seorang kanak-kanak, Muhd Haris Nizar Mohd Nasron, 14, kepada Buletin TV3.

Seolah menyingkap kembali permainan penuh nostalgia itu, kumpulan kanak-kanak terbabit memberitahu mereka mempelbagaikan permainan termasuk bermain permainan tradisional bagi mengisi cuti persekolahan mereka.

“Macam kami yang kecil ni main bola dalam bendang, main tuju selipar, main aci ligan (kejar-mengejar). Abang dan kakak yang besar tu main frisbee (balingan cakera),” kata Yusra Asna Ruslin, 9.

Ujar Yusra, mereka mula berkumpul di kawasan bendang itu selepas pulang solat Asar berjemaah di masjid dan habis bermain sebelum 7 malam.

“Kami pi solat Maghrib kat masjid, pi jalan kaki ramai-ramai dengan kawan.

Mereka tidak kisah berkaki ayam malahan lasak berkejaran di antara kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Keseronokan bermain dapat dilihat melalui sorakan dan jeritan kuat untuk mengatasi pihak lawan.

Bagi Ahmad Atif Khairunnizam, 11, dia mahu bermain dengan puas bersama rakan-rakannya sebelum berkhatan pada esok.

“Hari ni last dah adik main sebab esok nak bersunat dah.

Ramai penunggang motosikal yang melalui jalan itu, akan berpatah balik untuk singgah melihat telatah mereka bermain.

Pastinya, ia mengingatkan kita kepada ‘akar’ keakraban persahabatan dan kenangan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu.

Loading...
Terkini