PETALING JAYA: Senarai barang bukan keperluan asas yang akan termasuk dalam skop perluasan Cukai Jualan dijangka dikeluarkan awal tahun depan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican berkata, meskipun kerajaan akan memperluaskan skop cukai berkenaan tahun depan, barangan makanan asas yang digunakan rakyat tidak akan termasuk dalam skop perluasan cukai itu.
Katanya, barang premium seperti makanan kesihatan yang diimport akan termasuk dalam senarai skop perluasan Cukai Jualan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
“Kami sedang berhubung rapat dengan rakan kongsi cukai mengenai skop perluasan. Kami berharap akan mengeluarkan senarai (barang yang dikenakan Cukai Jualan) awal tahun depan bagi memastikan pelaksanaan lancar menjelang Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Siri Seminar Deloitte TaxMax ke-50 dengan tema ‘Memupuk pertumbuhan ekonomi cara MADANI’ anjuran Deloitte Malaysia di sini, hari ini.
Dalam Belanjawan 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.
Perdana Menteri berkata, Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat, sebaliknya ia akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avokado.
Sementara itu, skop Cukai Perkhidmatan pula, jelasnya, akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Mengenai cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2025 untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Johan berkata, cadangan berkenaan adalah untuk menyediakan persekitaran yang adil bagi pengambilan pekerjaan di negara ini.
Beliau berkata, ketika ini, pekerja bukan warga negara tidak diwajibkan mencarum KWSP, yang mana keadaan itu mewujudkan dasar berat sebelah terhadap pekerja bukan warga negara.
Justeru, katanya, pengumuman cadangan itu adalah petunjuk jelas untuk kerajaan dalam mewujudkan persekitaran tempat kerja yang adil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.