PUTRAJAYA: Isu kesesakan jalan raya yang kritikal ketika ini, khususnya di sekitar Lembah Klang, tidak akan selesai selagi kerajaan tidak melaksanakan perubahan dasar yang drastik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata antara dasar yang boleh diperkenalkan bagi menyelesaikan isu itu ketika ini adalah dasar kawalan kenderaan.
Beliau berkata, Malaysia merekodkan pertambahan kenderaan setiap hari, sekali gus menyebabkan isu kesesakan jalan raya akan berlanjutan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih belum merancang untuk memperkenalkan dasar kawalan kenderaan atau yang seumpamanya buat masa ini, sebaliknya lebih memberi tumpuan untuk melaksanakan langkah mitigasi bagi menangani masalah itu.
“Macam mana nak selesaikan masalah? Kenderaan bertambah setiap hari. Jadi, kesesakan ini sudah tentu tidak akan selesai, kecuali kita ada perubahan dasar secara drastik.
“Tetapi kita belum sampai ke sana. Umpamanya, kita tak ada dasar lagi untuk mengawal kenderaan. Ketika ini, kenderaan bertambah setiap hari, terutamanya di Kuala Lumpur, antara tempat paling banyak orang mendaftar kenderaan.
“Semalam, (sistem bidaan) nombor pendaftaran FF sampai ‘crash’ sebab semua orang nak daftar nombor baharu, nak beli kenderaan baharu.
“Realitinya ialah kita akan hadapi pertambahan kenderaan sepanjang masa dan kita hanya boleh mengurangkan masalah itu buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesesakan Jalan Raya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang yang dirancang Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi isu kesesakan jalan yang kritikal di Lembah Klang, berbanding hanya melaksanakan laluan kontra sebagai penyelesaian jangka pendek.
Terdahulu, Loke mendedahkan ada laluan kontra, yang sepatutnya dilaksanakan untuk tempoh sementara waktu, seolah-olah menjadi penyelesaian kekal apabila ia diteruskan untuk tempoh 20 tahun seperti di Jalan Cheras.
Ditanya sama ada dasar kawalan kenderaan bakal dilaksanakan pada masa depan, beliau memaklumkan, kerajaan belum membuat perancangan ke arah itu setakat ini.
“Saya tak mahu buat kenyataan sebelum ada perancangan teliti dan menyeluruh. Setakat ini, tiada dibincangkan (pelaksanaan dasar kawalan kenderaan),” katanya.
Loke berkata, buat masa ini, pihaknya akan memberi tumpuan untuk mengubah pemikiran pengguna jalan raya untuk beralih menggunakan pengangkutan awam.
“Ini adalah masalah ayam dan telur. Ada orang kata sebelum ada sistem pengangkutan awam yang baik, susah untuk kita tukar, jadi kita akan terus tambah baik infrastruktur pengangkutan awam dan pada masa sama, kita galakkan mereka guna pengangkutan awam,” katanya.
Beliau juga menyarankan ahli akademik dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk menjalankan kajian lanjut mengenai pengangkutan awam, merangkumi mereka yang tidak menggunakan kemudahan ini.
Katanya, kajian persepsi sebelum ini memberi tumpuan kepada individu yang sudah menggunakan pengangkutan awam.