KUALA LUMPUR: Mana-mana individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak, boleh memohon permit khas untuk pembelian diesel melebihi had, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, permit khas itu hanya untuk kegunaan yang dibenarkan selain daripada tujuan jualan semula.
“Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada agensi berkaitan serta membuat permohonan melalui Sistem Permit Khas dalam portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan, dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari untuk pembelian di stesen minyak,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi KPDN di Dewan Negara, semalam.
Beliau berkata, perkara itu terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Sementara itu bagi memastikan minyak masak peket bersubsidi sentiasa berada dalam pasaran pula, Armizan berkata, KPDN telah memperkenalkan mekanisme mengikut zon; iaitu pengedaran minyak masak bersubsidi mengikut negeri dan daerah.
“Ia bagi memastikan pengagihan bekalan minyak masak dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan dapat dinikmati terus kepada pengguna.
“Pelaksanaan zon telah bermula di Sabah yang berkuat kuasa 1 Ogos 2024, manakala di Sarawak bermula 1 November 2024 dan zon bagi negeri di Semenanjung akan bermula 2025,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.