KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu diberi ruang kepada pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebelum meneliti keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata beliau antara individu yang gembira apabila PBS dilaksanakan kerana sistem pendidikan negara sebelum ini terlalu berorientasikan peperiksaan.
“Saya beri jaminan kepada ibu bapa, beri ruang kepada PBS ini dan kita akan melihat proses anak-anak ini dalam tempoh sehingga habis kitaran PBS dan selepas itu kita akan lihat adakah ada keperluan atau sebaliknya untuk (kembalikan) peperiksaan ini.
“PBS sedia ada masih ada ujian akhir akademik namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi perkara lain turut dinilai termasuk kemahiran lain seperti kemahiran sosial dan bakat murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan bagi program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV malam ini.
Fadhlina berkata, PBS adalah pentaksiran holistik yang bukan mengenai akademik semata-mata sebaliknya membabitkan sosial, kesihatan serta tahap penguasaan murid.
“Suka saya ingatkan kepada ibu bapa yang mengambil berat isu ini, saya fikir kita sudah pergi kepada satu dimensi baharu iaitu apabila kita perkenalkan PBS, ia sebenarnya memberikan banyak manfaat.
“Jadi apabila kita beralih kepada pentaksiran ini, antara kelebihannya ialah ia memberi autonomi kepada sekolah dan guru kerana pentaksiran ini adalah antara guru dengan murid, guru dengan bilik darjah…jadi autonomi itu ada,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sebarang pelaksanaan atau perubahan kurikulum perlu melalui proses konsultasi dengan pemegang taruh seperti pakar pendidikan sebelum ia diputuskan.
“Sebab itu landasan penting untuk kita lihat kejayaan atau keberkesanan dan impak adalah melihat kepada laporan seperti laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir (pada 2025) dan kita akan ‘take off’ (mula) dari situ, seperti apa lagi perlu ditambah, apa lagi yang diperlukan.
“Paling penting untuk kita pastikan apa sahaja dasar yang nak diperkenalkan selepas ini, infrastrukturnya, ekosistemnya mesti disediakan sebagai contoh seperti kita bercakap mengenai dasar digital, jadi infrastrukturnya kena lengkap, internetnya mesti dibereskan,” katanya.