Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perlombongan haram banyak dikesan di Kedah

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 60 aktiviti perlombongan haram dikenal pasti di seluruh negara dengan kebanyakan kes dilaporkan di Kedah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) ke-2 yang dipengerusikan Fadillah hari ini.

“Kalau ikut laporan akhbar, kebanyakan (mineral perlombongan haram) melibatkan nadir bumi… Paling banyak sekali (perlombongan haram) adalah diakui oleh Menteri Besar Kedah itu sendiri tadi adalah di Kedah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MNN yang turut dihadiri Menteri Besar lain, wakil Premier Sarawak dan EXCO negeri mewakili Ketua Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Fadillah berkata, dalam usaha memastikan penguatkuasaan secara efektif dalam mengatasi isu perlombongan haram, satu pasukan petugas diwujudkan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pasukan itu juga melibatkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selain Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Pejabat Tanah dan Galian.

“Kalau kita melihat potensi mineral ini untuk menyumbang pendapatan negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ianya agak besar. Satu kajian dibuat menunjukkan rizab (mineral) yang kita ada bernilai RM4 trilion.

“Cuma dari usaha itu, kita kena buat dengan teratur dan tersusun supaya keperluan ekonomi itu tidak akan menjejaskan kesejahteraan sosial rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya Dasar Mineral Negara dibangunkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menurutnya, cabaran kini bukan sahaja mengurus mineral secara mampan, namun pada masa sama mengimbangi antara keperluan sektor ekonomi dan pendapatan negara serta memastikan kemampaman alam sekitar terpelihara.

“Projek rintis prosedur operasi standard (SOP) perlombongan nadir bumi telah dilaksanakan di Perak, setakat ini audit di peringkat awalan, pematuhan (SOP) agak baik. Sebab itu kita bincangkan tadi dan sudah pasti kena diguna pakai SOP nanti bersekali dengan pembangunan Dasar Mineral Negara.

“Jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Menteri (Nik Nazmi) akan berbincang dan memperhalusi keseluruhan proses (SOP dan dasar) dengan Kerajaan Negeri dan agensi terlibat dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Loading...
Terkini