KANGAR : Perlis mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ia diumumkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Azlan, Baginda Tuanku berkenan menerima mengadap beliau bersama Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari pada pukul 3 petang di Galeri Diraja Arau, dekat sini semalam.
“Pada sesi mengadap yang berlangsung hampir satu jam, Raja Perlis telah disembah maklum mengenai Persidangan Khas DUN Perlis yang telah meluluskan secara sebulat suara pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
“Selain itu, baginda juga telah berkenan dengan cadangan untuk membubarkan DUN Perlis ke-14 berkuat kuasa pada hari ini,” katanya.
Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14, sepuluh kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.
Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen. Penyandang kerusi Arau dan Padang Besar adalah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masing-masing dari BN, manakala kerusi Parlimen Kangar disandang Noor Amin Ahmad (PKR).