
KANGAR: Perlis mula menerima 3,000 kampit atau 30 tan metrik bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi sejak 1 Mac sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan BPT di negeri itu.
Bekalan BPT yang hanya dipek untuk 10 kilogram (kg) dan dijual pada harga RM26 di beberapa pasar raya di negeri itu menyasarkan kegunaan bagi golongan B40 atau golongan miskin.
Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, Razali Saad berkata, penerimaan bekalan BPT itu diharapkan mampu mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada beras import yang dijual mahal.
“Sejak 1 Mac lalu, kita sudah menerima 3,000 kampit atau 30 tan metrik BPT untuk kegunaan rakyat di negeri ini dan ia sudah pun dijual di beberapa pasar raya terkenal.
“Bekalan BPT juga tidak dijual dalam pek lima kg dan bagi mengelakkan berlakunya pembelian panik, kita menyasarkan seorang hanya boleh membeli sebanyak dua kampit BPT saja.
“Langkah ini bagi memastikan semua pihak dapat menikmati BPT bersubsidi ini serta tidak dimonopoli oleh peniaga saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi di sebuah stor penyimpanan sebuah pasar raya di Behor Pulai, di sini, hari ini.
Katanya, bekalan BPT di negeri ini akan ditambah dari semasa ke semasa dalam tempoh enam bulan sehingga Ogos hadapan.
“Seperti yang dinyatakan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, mereka akan membuat intervensi dengan subsidi khusus bagi tempoh enam bulan ini.
“BPT ini juga menyasarkan kegunaan keluarga miskin dan miskin tegar serta golongan B40,” katanya.
Terdahulu, Razali bersama penguat kuasa Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Perlis melakukan pemeriksaan terhadap sebuah stor penyimpanan bekalan sebuah pasar raya di Behor Pulai, di sini.
Menerusi tinjauan berkenaan, terdapat bekalan 400 kampit BPT yang diterima pengurusan pasar raya berkenaan sejak 1 Mac lalu dari pengilang beras dari Kedah.
Sementara itu, tinjauan di pasar raya pula mendapati orang ramai berpuas hati dengan penjualan BPT terutama bagi kegunaan dalam Ramadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.