PADANG BESAR: Kerajaan Perlis akan mengusulkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) cadangan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, dapat beroperasi sehingga jam 12 tengah malam berbanding jam 10 malam ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim, berkata pihaknya akan menyediakan kertas cadangan tersebut untuk dipertimbangkan KDN, dengan proses menyiapkan kertas itu dijangkakan bermula selepas Aidilfitri.
“Saya akan buat secepat mungkin tetapi ingat selepas raya, kena buat satu kajian semua peringkat (terlebih dahulu), (kena ada) dua tiga kali juga mesyuarat, macam mana pun tahun ini kita akan minta (kepada KDN), saya rasa peringkat (Kerajaan) Pusat tak ada masalah, akan beri kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program MADANI Ihya Ramadan Bilateral Malaysia-Thailand Peringkat Negeri Perlis 2024 di Masjid Ahmad, di sini malam tadi.
Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis Arif Helmi Junid dan Ketua Penolong Pengarah (Keselamatan) Seksyen Keselamatan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand, Lt Kolonel Mohamad Noh Abdul Kader.
Selain itu, Izizam berkata, melalui kertas cadangan itu juga pihaknya akan mengesyorkan supaya pintu sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Wang Kelian dekat sini, dapat dibuka sehingga jam 8 malam berbanding jam 7 malam ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat cadangan melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan negara di Padang Besar dan Wang Kelian itu, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Perlis selain merancakkan sektor pelancongan di negeri itu bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.