
KOTA BHARU: Semua pemimpin politik, tokoh masyarakat dan pengguna media sosial di negara ini digesa untuk mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan ketegangan kaum dan agama.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata semua pihak perlu memperkukuh mesej perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Katanya, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menggugat keharmonian melalui ucapan kebencian dan provokasi.
“Saya menyokong seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghentikan semua bentuk ejekan dan penghinaan berasaskan kaum dan agama serta kenyataan berbaur hasutan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan negara kita yang berbilang kaum dan agama.
“Malaysia adalah sebuah negara yang sudah sekian lama berdiri atas asas saling menghormati, bertoleransi, dan memahami antara kaum dan agama.
“Namun, kebelakangan ini kenyataan bersifat perkauman dan keagamaan serta tindakan tidak sensitif pihak tertentu semakin mengancam perpaduan rakyat. Jika tidak dibendung, ia boleh mencetuskan kebencian, diskriminasi, dan konflik yang lebih serius,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin, tetapi ia mesti diamalkan dengan bertanggungjawab.
“Apabila kebebasan ini disalahgunakan untuk menghina, memperlekeh atau mencetuskan permusuhan, ia bukan lagi satu ekspresi demokrasi, sebaliknya menjadi ancaman kepada perpaduan dan kestabilan negara.
“Di saat ini, perpaduan adalah kekuatan utama kita. Marilah kita bersama-sama mempertahankan kepelbagaian Malaysia sebagai satu kebanggaan dan kelebihan, bukan sebagai perpecahan.
“Jalan ke hadapan haruslah berpaksikan dialog, empati, dan komitmen bersama untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.