JERANTUT: “Hmm… kenapa sejak dua hari ini rasa macam diketepikan dan tak sedap hati, apakah aku perlu siap untuk dibaringkan depan imam?”
Itu antara hantaran semula yang terakhir dikongsikan Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14, dalam akaun media sosialnya sebelum insiden remaja itu dilaporkan tergelincir ke dalam Sungai Pahang, kelmarin.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin itu ditemui lemas pada jam 7.45 pagi tadi oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira 900 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai.
Sehari sebelum kejadian, Azri Fahmi Bahiudin juga dikatakan memohon maaf melalui aplikasi WhatsApp kepada rakan-rakan sekiranya ada salah silap atau perkara yang menyentuh perasaan mereka.
Rakan sekelasnya, Aidil Hakim Muhammad Shaiful, berkata arwah menghantar beberapa mesej terbabit pada sebelah malam.
“Arwah menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada semua rakannya secara peribadi dan memohon maaf pada malam Jumaat lalu.
“Saya terkejut dan seperti tidak percaya apabila menerima khabar menyedihkan mengenai kejadian menimpa arwah pada petang keesokannya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mat Kilau, di sini, hari ini.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada jam 6.15 petang tadi.
Menceritakan lanjut, Aidil Hakim berkata, beberapa hantaran semula yang terakhir dikongsikan arwah dalam akaun media sosialnya termasuklah berkaitan ajal.
“Salah satu hantaran semula oleh arwah itu berbunyi: ‘Bila kematian datang lebih awal ke diriku, maafkan aku wahai sahabat dan wanita yang kucintai’,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, dipetik berkata arwah dipercayai terpijak hujung lebihan atap zink di rumah rakit milik Majlis Daerah Jerantut sebelum tergelincir ke dalam Sungai Pahang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.