KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang ke Kwasa Damansara, di sini, mengalami gangguan dipercayai akibat masalah teknikal, pagi ini.
Seawal kira-kira jam 7 pagi, berlaku kelewatan tren menghala ke stesen KL Sentral ketika waktu puncak orang ramai bergegas untuk melakukan urusan harian, terutama ke tempat kerja.
Tinjauan di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn mendapati keadaan itu menyebabkan pengguna mulai sesak sehingga terpaksa berbaris panjang.
Difahamkan, sebuah tren sedang mengalami isu teknikal di Bukit Dukung, dan pihak operasi dalam proses mengatasi masalah berkenaan dengan secepat mungkin.
Terdahulu, pengumuman dibuat di stesen MRT berkenaan memaklumkan, masalah berpunca daripada kesesakan tren berkenaan, sekali gus memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. – BERITA HARIAN