Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkuat kuasa semalam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penamatan berkenaan selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].
“(Mohd Syafiq juga) dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.
“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang dicintai.
Terdahulu, tular sekeping surat yang ditandatangani oleh Mohd Zuki bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Syafiq yang juga merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus 1 (Memangku) demi kepentingan awam.
Pada 6 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Mohd Zuki untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman bagi menyiasat insiden melibatkan Mohd Syafiq dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM).
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan dianggotai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Dalam kejadian 5 Ogos lalu, Mohd Syafiq didakwa telah menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai JIM yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam satu perselisihan faham di antara mereka.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menjelaskan bahawa Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap pegawai terbabit berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.