comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkhidmatan komuter Lembah Klang, ETS alami gangguan akibat kren tumbang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) hari ini mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren tumbang berhampiran landasan.

Bagaimanapun, KTMB dalam kenyataan di sini tidak menyatakan lokasi insiden tersebut dan menjelaskan kejadian tersebut telah menyebabkan kedua-dua landasan bagi laluan Rawang-Tanjong Malim, terhalang.

Susulan kejadian itu, perkhidmatan Komuter sektor Tanjong Malim-KL Sentral-Tanjong Malim akan ditamatkan di Serendah, manakala perkhidmatan ETS akan dimaklumkan kelak.

“Insiden ini akan mengambil masa untuk dipulihkan kerana alat talian atas terputus,” menurut kenyataan itu.

Justeru, KTMB menyediakan perkhidmatan bas kepada penumpang perkhidmatan Komuter Lembah Klang bagi perjalanan pergi dan balik laluan Sungai Buloh ke Serendah manakala laluan KL Sentral-Sungai Buloh-Tanjung Malim untuk penumpang ETS.

“Pihak KTMB akan melaporkan perkembangan terkini situasi dari semasa ke semasa dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.–BERNAMA

Loading...
Terkini