Tumpuan :
Nasional

Perkhidmatan KK kini lebih baik, namun tempoh menunggu masih lebih 30 minit

Suasana di sebuah klinik kesihatan. -FOTO NSTP

SEREMBAN: Orang ramai yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan, namun tempoh menunggu masih melebihi 30 minit.

Tinjauan Harian Metro di Klinik Kesihatan (KK) Seremban 2 mendapati fasiliti berkenaan tidak sesak terutama di bahagian pendaftaran berbanding kebiasaan.

P Maligaa, 63, yang datang untuk janji temu doktor setiap bulan untuk pemeriksaan kesihatan berkata, dia menunggu lebih sejam sebelum nombor gilirannya dipanggil untuk berjumpa doktor.

“KK ini selesa dan luas, tetapi tidak tahu keadaan di KK lain. Cuma saya berharap boleh buat sesuatu untuk kurangkan waktu menunggu,” katanya yang ditemani anak perempuannya.

Sementara itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Ravi, 72, berkata, perkhidmatan di KK sekarang dilihatnya lebih baik berbanding dahulu. Katanya, jika sebelum ini dia terpaksa menunggu lebih satu jam untuk berjumpa doktor, tetapi sekarang hanya paling lama sekurang-kurangnya 45 minit bergantung kepada penyakit atau hari.

“Macam hari ini (semalam) saya sampai di KK Seremban 2 pada jam 8.30 pagi untuk cuci luka akibat kencing manis dan jam 10 pagi sudah selesai semua urusan. Bagi saya lebih cepat berbanding dahulu,” katanya.

Kakitangan awam yang enggan dikenali berusia 30 tahun yang membuat pemeriksaan kesihatan menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) memaklumkan dia terpaksa menunggu lebih sejam.

“Berdasarkan nombor giliran saya, waktu tercatat adalah jam 9.29 pagi dan sehingga 10.45, nombor saya belum dipanggil lagi. Bagaimapun temujanji melalui aplikasi MySejahtera sedikit sebanyak menjimatkan masa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini