LUNDU: Perkhidmatan Bas antara sempadan menghubungkan Kuching dengan Singkawang di Kalimmantan Barat, Indonesia dijangka akan memulakan perkhidmatannya tahun hadapan selepas semua perbincangan mengenainya selesai.
Perbincangan terbabit antaranya bagi menentukan jumlah kekerapan perjalanan bas dari kedua lokasi berkenaan menerusi persetujuan oleh Persatuan Pengusaha Perkhidmatan Bas Sarawak dan Kalimantan Barat serta kebenaran untuk beroperasi di kedua-dua negara.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, perlaksanaan perkhidmatan itu nanti akan menggunapakai konsep perkhidmatan bas yang menghubungkan Kuching dengan Pontianak.
Jelasnya, berdasarkan konsep berkenaan kekerapan perjalanan adalah sama bagi kedua-dua bas sama ada milik syarikat perkhidmatan Bas dari Sarawak dan syarikat perkhidmatan bas dari Kalimantan Barat iaitu sebanyak empat perjalanan sehari dengan dua perjalanan dari Pontianak ke Kuching dan dua perjalanan dari Kuching ke Pontianak.
Bagaimanapun,menurut Datuk seri Lee Kim shin, jumlah kekerapan perjalanan bagi laluan Kuching-Singkawang dan Singkawang-Kuching masih belum ditentukan pada ketika ini.
“Belum lagi namun sebagai permulaannya ada cadangan daripada persatuan bas tadi, dia kata lima kali jumlah perjalanan dari kedua-dua destinasi.
“Selepas itu jika terdapat pemintaan bagi perkhidmatan terbabit kita sentiasa boleh menambah jumlah kekerapan perjalanan sama seperti laluan Kuching-Pontianak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke stesen Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak di Lundu.
Menurut Kim Shin, satu pelabuhan darat juga turut dicadangkan untuk dibina di kedua ICQS iaitu satu di Biawak, Sarawak dan satu di ICQS Aruk, Kalimantan Barat.
Beliau berkata, pembinaan perlabuhan darat terbabit sebagai langkah kedua-dua negara untuk memudahkan urusan logistik sama ada bagi pergerakkan warga Indonesia dan Malaysia serta urusan dagangan barangan lain.