Tumpuan :
Nasional

Perkhidmatan bas henti-henti hubungkan kawasan luar bandar Sabah, Sarawak

KUCHING: Kerajaan bercadang untuk menyediakan perkhidmatan bas henti-henti atau bas ekpress yang berupaya menyambungkan kawasan luar bandar dengan jaringan laluan Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan laluan bas berkenaan akan melalui kawasan perdalaman terus ke Jaringan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei Darussalam dan terus ke Tawau di Sabah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, perkhidmatan terbabit dicadang untuk disediakan menerusi anak Syarikat Majlis Amanah Rakyat MARA iaitu MARA Liner.

“Walaupun perkhidmatan bas seperti ini tidak memberikan keuntungan kepada syarikat tetapi ia memberikan impak sosial yang positif kepada masyarakat.

” Bagaimanapun, kita percaya kos-kos terbabit akan dapat ditampung oleh pendapatan dari perkhidmatan bas ekspres dan ini merupakan rancangan jangka panjang kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Kerajaan Sarawak di sini hari ini.

Katanya, perincian mengenai laluan dan destinasi bas terbabit masih dalam peringkat kajian oleh syarikat pengendali dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Bagaimanapun menurut beliau, projek rintis bagi perkhidmatan terbabit akan mula dilaksanakan pada pertengahan bulan ini di Bahagian Samarahan dan Kuching.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan semua projek penyambungan dan pembinaan bekalan air luar bandar yang di bawah nilai RM50 juta akan diserah sepenuhnya kepada Jabatan Bekalan Air Luar bandar (JBALB).

Ia bagi membolehkan pelaksanaan projek-projek berkenaan dapat dilakukan dalam kadar segera tanpa perlu menunggu kelulusan agensi lain selain agensi terbabit yang akhirnya menyebabkan kelewatan penyampaian projek.

Loading...
Terkini