KUALA LUMPUR: PERKESO mengesahkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawangnya diserang penggodam, sejak Sabtu lalu.
Berikutan itu, PERKESO mengaktifkan pelan pengurusan krisis diaktifkan pada hari sama manakala unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.
Katanya, peringkat awal modus operandi serangan siber itu bertujuan melumpuhkan infrastruktur sistem PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.
“Bagaimanapun, unit ICT PERKESO berjaya mendapatkan semula kawalan sistem, yang akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej PERKESO.
“PERKESO memberi jaminan, usaha terancang didalangi penggodam ini tidak akan merencatkan khidmat kami kepada pencarum, majikan dan orang ramai.
“Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” kata PERKESO dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas kebocoran maklumat yang dipaparkan di ‘dark web’ atau laman sesawang gelap, hasil penelitian awal PERKESO mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam amat diragui, tidak lengkap dan luput.
Ini kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap oleh PERKESO, sejak agensi itu ditubuhkan pada Oktober 1971.
“Serangan siber terhadap PERKESO ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan ia berjaya dibendung,” katanya.