JENGKA: Perkenalan di laman sosial membawa sepasang warga emas disatukan melalui ikatan perkahwinan.
Majlis berlangsung di Masjid Al-Rahmaniah , FELDA Jengka 17, semalam.
Pasangan itu, Zahrin Osman 74 tahun dan Azizi Othman 62 tahun disatukan setelah berkenalan selama 7 bulan melalui laman sosial dan kemudian melalui penggilan telefon.
Zahrin berasal dari Taiping, Perak dan kini bermastautin di Petaling Jaya mempunyai 3 anak dan sudah lama menduda kerana kematian isteri pertamanya.
“Perkenalan ini bermula daripada dalam kumpulan sembang sebuah laman sosial. Dalam kumpulan itu dan selalunya berlaku senda gurau dan tidak semena-mena saya tertarik dengan wanita (Azizi) ini. Kami hanya berhubung melalui media sosial pada peringkat awal perkenalan dan kemudian menjelang hari pernikahan baru kami berhubung melalui panggilan telefon,” katanya.
Katanya perkahwinan kali kedua itu direstui oleh semua anaknya kerana mahu dia mempunyai teman hidup dan ahli keluarga yang lain turut bersetuju dia berkahwin.
Manakala, Azizi pula yang berasal dari Felda Jengka 17, telah berpisah dengan suami pertama sejak 5 tahun lalu dan mempunyai lima anak hasil perkahwinan tersebut.
“Sejak berpisah dan bersara daripada perkhidmatan kerajaan menyebabkan saya sering berhubung dengan rakan-rakan lama di kalangan wanita di dalam media sosial. Seorang rakan mencadangkan saya melayari laman sesawang untuk mencari kenalan, bermula di situ saya berkenalan dengan suami saya. Saya berdoa perkahwinan kali kedua ini berkekalan sehingga ke akhir hayat,” katanya.