![](https://media.buletintv3.my/2024/08/cYzoBbLJ-BULETIN-TV3-A-8.jpg)
PUTRAJAYA: Sebarang perkembangan mengenai permohonan baharu pelesenan media sosial bagi membolehkan penyedia perkhidmatan beroperasi di negara ini akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“Ya, saya percaya insya-Allah minggu depan, lepas (sambutan) Thaipusam, kita akan ada sedikit maklumat,” katanya ringkas pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya penambahan jumlah penyedia perkhidmatan media sosial yang sudah menerima lesen untuk beroperasi di negara ini.
Setakat ini, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial ByteDance (TikTok), Tencent (WeChat) dan Telegram sudah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Sementara permohonan gergasi media sosial Meta yang mengendalikan platform Facebook, Instagram dan WhatsApp dijangka selesai dan diluluskan dalam masa terdekat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.