comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perkembangan kes Zayn Rayyan: Zaim, Ismanira mengaku tidak bersalah abai anak

 

Foto: NSTP

RINGKASAN BERITA

  • Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
  • Zaim dan Ismanira mengaku tidak bersalah.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin & Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, terhadap satu pertuduhan iaitu mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari (yang memakai baju T berwarna hitam) dan Ismanira Abdul Manaf (berbaju merah) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka,  Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 5 Disember jam 12 tengah hari hingga jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik.

Ia selama apa-apa tempoh dan dengan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

“Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan,” katanya.

Peguam bela Zaim Ikhwan, Fahmi Abd Moin, memohon jaminan RM5,000 bagi anak guam, namun tiada isu dengan syarat tambahan dicadangkan.

Peguam Ismanira, Mahmud Jumaat, pula memohon jumlah jaminan kurang daripada RM5,000 untuk anak guam dan tidak membantah syarat tambahan.

Hakim membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh sudah tamat tempoh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

|  ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini