Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Walaupun pelbagai inisiatif telah dan sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu bekalan air negeri itu, pengurusan lemah yang wujud tidak dapat menjamin masalah air.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata pihaknya kini mencari pendekatan baharu untuk memperkemaskan sistem penyampaian dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar semua kelewatan projek lalu disiapkan sesegara yang mungkin.
“Saya sedar bahawa masalah air yang berlarutan sejak sekian lama di Jabatan Air Sabah ini adalah berpunca daripada kelewatan pelaksanaan dan juga execution projek yang telah dirancang yang telah dianugerahkan. Contohnya Telibong 2 Fasa 2 ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal memenuhi permintaan 2022 tetapi sekarang kita sudah masuk 2023 dan loji itu belum siap sepenuhnya.
“Apa yang mengecewakan saya setelah menjadi menteri empat bulan, saya dapati pelaksanaan projek ini pengurusan projeknya lemah jadi saya sudah berbincang dengan beberapa orang berpengalaman lama di JANS dan kementerian kita akan cari pendekatan untuk memperkemaskan dan mempertingkatkan sistem penyampaian dalam JANS dan kementerian.” Katanya.
Datuk Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Ia pertanyaan berhubung langkah yang telah diambil bagi mengatasi masalah bekalan air di Sabah yang semakin teruk dan berleluasa lebih-lebih lagi ketika musim cuaca panas dan kering berpanjangan pada masa kini.
Selain mencari pendekatan baharu dalam JANS, antara isu utama lain yang perlu ditangani adalah kejadian paip bocor, paip usang, kecurian air, kualiti sumber air mentah yang semakin merosot dan permintaan air yang melebihi kapasiti pengeluaran air.
Justeru jelas Datuk Shahelmey bagi mengatasi masalah itu, beberapa langkah penyelesaian jangka
masa pendek serta jangka masa panjang antaranya JANS telah dan akan menawarkan kontrak-kontrak penyelenggaran paip mengikut zon-zon di seluruh Sabah bagi menggantikan paip yang usang dan berkarat untuk penyelesaian jangka pendek.
Manakala antara penyelesaian jangka panjang pula pihak JANS sedang melaksanakan tiga buah projek di kawasan Kota Kinabalu dan kawasan utara.
“Projek-projek yang sedang dilaksanakan adalah Projek Penambahan Kapasiti dari 80 juta liter sehari (JLH) kepada 160JLH Telibong 2 Fasa 2, Tuaran, Urgent Water Supply Scheme Telibong 1, Urgent Water Supply Scheme Telibong 2.” katanya.
Bagi potensi sumber air mentah baharu pula untuk daerah Sandakan misalnya, pihak JANS akan menyenaraikan cadangan pemindahan muka sauk Loji Rawatan Air Segaliud, Sandakan ke Sungai Meliau atau Sungai Kinabatangan.
Cadangan itu ujar Datuk Shahelmey akan turut melibatkan kajian dan rekabentuk terperinci bagi menaiktaraf loji air sedia ada serta pembinaan sistem saluran paip air mentah dari sumber air mentah baharu ke Empangan Betotan, Segaliud, Sandakan.
“Cadangan ini akan dimasukkan sebagai senarai keutamaan dalam Rolling Plan ke-Lima (RP5) RMK-12, dibawah program Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.” tambahnya.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah pada tahun ini juga.
Susulan itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengundang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam masa terdekat bagi berbincang mengenai perkara itu.
ENDS
CAPTION PIC: Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah ketika sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu.