Tumpuan :
Nasional

Perkelahan bertukar tragedi, datuk lemas ketika selamatkan 2 cucu di Pantai Irama

Seorang pesara kerajaan meninggal dunia akibat lemas ketika menyelamatkan dua cucu dalam kejadian di Pantai Irama, pagi tadi. -FOTO NSTP/ Ihsan pembaca

BACHOK: Perkelahan sebuah keluarga di Pantai Irama dekat sini berakhir tragedi, apabila seorang pesara kerajaan lemas ketika menyelamatkan dua cucunya dalam kejadian pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku jam 9.30 pagi, ketika mangsa, Rosli Yusof, 63, dari Kampung Paya Senang, Kota Bharu ke pantai itu bersama isteri, seorang anak dan dua cucu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, mangsa yang bersara dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dikatakan bersama cucunya turun ke pantai untuk bermain air di kawasan hujung batu di pantai berkenaan.

Katanya, ketika mangsa sedang mengawasi kedua cucu, secara tiba-tiba kedua cucunya ditarik ombak ke kawasan lebih dalam dan mangsa cuba menyelamatkan mereka.

“Isteri dan anak mangsa yang berada di lokasi kedai berhampiran cuba membantu namun anaknya turut lemas,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, dua cucu dan anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian.

Mohd Azrie berkata, kesemua mangsa lemas dibawa ke daratan namun Rosli tidak sedarkan diri dan diberi bantuan awal kecemasan.

“Mangsa didapati meninggal dunia dan pengesahan dibuat pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.

“Manakala tiga lagi mangsa iaitu anak dan cucu arwah dibawa ke Hospital Bachok untuk rawatan susulan,” katanya.

Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Mohd Azrie berkata, polis menasihatkan orang awam tidak mandi manda di pantai berikutan cuaca masih berada dalam musim monsun timur laut dengan angin kencing dan ombak besar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini