comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkara tertunggak dalam MA63 boleh diselesaikan – Abang Johari

Oleh: Kadir Edison

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak yakin perkara tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan berikutan hubungan baik pimpinan Sabah dan Sarawak dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata beliau dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, boleh duduk bersama Anwar untuk membincangkan perkara itu dalam suasana mesra berpandukan konsep Malaysia Madani serta saling hormat-menghormati.

Walaupun 11 perkara dalam MA63 sudah diselesaikan, beliau berkata, masih ada yang memerlukan perbincangan lanjut antara Anwar, Hajiji dan dirinya.

Tambah Abang Johari, usaha Sarawak itu juga selari dengan semangat MA63 yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh pemimpin Sarawak terdahulu ketika berunding dengan tokoh kemerdekaan yang lain serta pihak British.

“Dalam memperingati Hari Malaysia yang bersejarah ini, kita harus ingat bahawa Sarawak tidak ‘menumpang kasih’ kerana Sarawak bersama wilayah-wilayah lain telah menubuhkan
Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat dengan perlembagaan sendiri.

“Sarawak tidak boleh dikecilkan atau direndahkan statusnya kepada status bukan rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia. Itulah semangat MA63 yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh kita ketika mereka berunding dengan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain dan pihak British,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak di stadium tertutup Simangang di sini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Katanya, walaupun masih banyak perkara yang masih belum selesai dalam perundingan berkenaan, beliau optimis semua pihak terlibat boleh duduk bersama mencari titik penyelesaian kepada isu-isu berbangkit dalam MA63

“Saya yakin semua perkara di bawah MA63 akan diselesaikan selagi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah boleh duduk sama untuk berbincang dalam suasana yang berpandukan kepada konsep Malaysia Madani dan memberi penekanan kepada sikap hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Abang Johari dalam pada itu turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat keputusan untuk mengagihkan RM600 juta setahun sebagai pemberian khas secara interim kepada Sarawak dan Sabah berbanding keputusan sebelum ini iaitu sebanyak RM300 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini