Tumpuan :
Nasional

Perkampungan tradisi India kini di bawah pemantauan KPKT – Nga Kor Ming

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) telah diamanahkan untuk menjaga perkampungan tradisi masyarakat India di seluruh negara, bagi memenuhi aspirasi kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan setiap kaum di negara ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pertemuan yang diadakan beliau bersama Ahli Parlimen, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa India baru-baru ini.

“Kita dapati bahawa perkampungan ini tidak mempunyai urus tadbir yang baik sebelum ini kerana ia tidak diletakkan dibawah penyeliaan mana-mana kementerian secara khusus. Jadi keputusan meletakkannya dibawah KPKT akan membolehkan ia dapat diurus dengan lebih baik.”

“Sama seperti perkampungan tradisi Melayu yang dijaga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), perkampungan tradisi India akan menerima manfaat kemudahan asas seperti pembinaan jalan, dewan orang ramai dan taman awam. Ia juga akan mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Untuk itu, kerajaan katanya memperuntukkan sejumlah RM10 juta sebagai peruntukan awal bagi menjalankan pembangunan bermula tahun hadapan.

“Kita akan memulakan perancangan dengan pelaksanaan dijalan bermula tahun hadapan. Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membuat perincian.”

“Kita mahu masyarakat India di negara ini menerima nikmat daripada aspirasi Malaysia Madani iaitu hormat dan ehsan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Tawaran dan Malam Media sempena Deepavali anjuran DAP Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, serta ADUN-ADUN DAP Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini