Tumpuan :
Nasional

Perjawatan tetap kakitangan KEMAS dibawa ke Kabinet bulan depan

MELAKA: Seramai 15,500 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), termasuk guru berstatus kontrak, bakal diserap ke jawatan tetap apabila skim perjawatan baharu agensi itu dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya bulan depan.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata cadangan penambahbaikan skim perjawatan itu akan diperhalusi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

 

“Sudah tiba masanya perjawatan kakitangan KEMAS yang sebelum ini berstatus kontrak diserap ke jawatan tetap, khususnya selepas mereka berkhidmat hingga 40 tahun.

“Kita bercadang memperbetulkan skim perjawatan, termasuk tangga gaji, seperti yang dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

“Perkara ini akan diperhalusi bersama JPA kerana sudah tiba masanya mereka diberikan jawatan tetap, selepas berkhidmat antara 15 hingga 40 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, penambahbaikan skim perjawatan kakitangan KEMAS mendapat reaksi positif daripada JPA.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan itu merangkumi naik taraf Tabika KEMAS secara menyeluruh, selain pembukaan lebih banyak kelas bagi memberi kemudahan kepada kanak-kanak di bawah KEMAS.

Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata cadangan skim gaji baharu itu membabitkan seramai 10,600 guru KEMAS di seluruh negara.

“Semua 10,600 guru ini berkhidmat secara sukarela, dan sewajarnya mereka juga layak diserap ke jawatan tetap,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini