Tumpuan :
Nasional

Perjanjian Iklim Paris: AS tarik diri, dunia perlu cari jalan terbaik tangani perubahan iklim – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad ditemui pada UNFCCC-COP29 dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di ibu negara, hari ini.

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Seluruh dunia perlu bertindak dalam mencari jalan terbaik menangani isu perubahan iklim meskipun Amerika Syarikat (AS) menyatakan hasrat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Malaysia akan terus mengadakan perbincangan dengan semua negara termasuk AS.

“Itu keputusan mereka (AS) tetapi seluruh dunia perlu bertindak dan mencari jalan terbaik.

“Malaysia akan terus berbincang dan jaga hubungan kita dengan negara-negara yang kita jalinkan hubungan diplomatik termasuk AS,” jelasnya.

Tambah Nik Nazmi, beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan pihak Amerika Syarikat dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu COP 29 di Baku, Azerbaijan pada November tahun lalu.

“Dalam COP 29, saya ada pertemuan dengan pihak AS, jadi kita akan teruskan komunikasi dengan pihak mereka.

“Pada masa sama, kita akan tingkatkan usaha dan cari jalan bagaimana kita dapat memastikan dan atasi serta membina satu masa depan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dengan konteks keputusan AS itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hasil Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC): Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di UNFCCC-COP29 (Persidangan Ke-29 Pihak-Pihak) dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump, menyatakan negara itu berhasrat untuk menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.

Rumah Putih dalam satu kenyataan memaklumkan, penarikan diri itu perlu dikemukakan secara rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan berkuat kuasa selepas tempoh setahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini