KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 bermula 4 Jun lepas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang diwartakan pada 2 Okt tahun lepas.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pewartaan itu bertujuan memastikan pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong mematuhi piawaian penandaan kuantiti pada label bungkusan bagi semua produk dan barangan tersedia bungkus yang dijual dalam pasaran negara.
Beliau berkata menerusi pelaksanaan itu, penguat kuasa KPDN boleh menjalankan pemeriksaan dan ujian ketepatan kuantiti produk secara terus di peringkat pengilangan bagi mencegah penipuan kuantiti sebenar produk-produk tersedia bungkus yang akan dipasarkan.
“Penguatkuasaan perundangan ini membantu pengguna mendapat maklumat jelas berhubung kuantiti produk, sekali gus menambah keyakinan pengguna ke atas semua produk tersedia bungkus yang berada di pasaran,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Zon Timur 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.
Armizan berkata pihak industri juga perlu mempertingkat kawalan dalaman bagi memastikan kuantiti setiap produk tersedia bungkus adalah tepat dan tidak merugikan pengguna.
Pewujudan perintah itu katanya merupakan komitmen Malaysia bagi mengharmonikan perundangan dalam bidang pengukuran bagi mengelak halangan teknikal dalam perdagangan antara negara-negara ASEAN.
“Kementerian juga boleh mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023,” katanya.
Beliau berkata jika berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong, mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.
Bagi individu pula, akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa