Tumpuan :
Nasional

Perintah larangan terhadap tiga penerbitan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk ‘Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)’, ‘Heartstopper Volume 2’ dan ‘Cekik’, menerusi Warta Kerajaan bertarikh 12 Oktober 2022.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata, perintah larangan itu dikenakan kerana ada kandungan yang mungkin memudaratkan moral.

Katanya, kandungan penerbitan bertajuk ‘Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)’ memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang menitikberatkan kesopanan.

“Kandungan penerbitan bertajuk ‘Heartstopper Volume’ dan ‘Cekik’ pula cuba mempromosi budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta berunsur lucah yang melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

“Amalan hidup songsang jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama serta norma hidup masyarakat,” katanya.

Perintah larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan, dilarang secara mutlak di Malaysia.

Mana-mana individu yang membuat kesalahan berkenaan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8(2) akta sama.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di talian 03-88868047, faks 03-88891682 atau Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini