KUALA LUMPUR: Perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dijenamakan semula sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE mulai jam 6 petang, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE membabitkan kawasan perairan di enam daerah di Sabah, dengan Tawau dikecualikan.
Enam perairan yang masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE ialah Lahad Datu, Kunak, Semporna, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran.
Perairan Tawau dikecualikan memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah terbabit yang memuaskan.
“17 Oktober 2023 (esok) jam 6 petang, Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah No.1 akan mula dikuatkuasakan bagi menyambung Perintah Berkurung Sabah No.220 yang akan tamat pada jam 6 petang esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perintah kawalan pergerakan ini diperlukan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh atau diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah di kawasan ESSZONE.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah dikuatkuasakan mengikut Subseksyen 31 (1) Akta Polis 1967 (Akta 344).
Perintah Berkurung di ESSZONE mula dilaksanakan pada 6 Julai 2014 di kawasan perairan daerah Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan.
Ia juga bertujuan mengekang ancaman pencerobohan pengganas Sulu dan penculikan oleh kumpulan ‘penculik untuk tebusan’ (KFR) di kawasan pantai timur Sabah.