comscore
Tumpuan :
Nasional

Perintah bela diri diharap beri keadilan kepada Najib Razak

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – FOTO: NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap perintah bela diri yang diputuskan Mahkamah Tinggi akan memberikan keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, selepas terdapat prima facie, Najib telah diberikan peluang untuk membersihkan dirinya selain berharap keadilan memihak kepadanya.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan dan beliau diberikan peluang untuk membersihkan dirinya selepas terdapat prima facie dan kita harap keadilan memihak kepada beliau,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di Depot Sentul hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua 25 tuduhan yang dikenakan terhadap Najib yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ketika kesalahan itu didakwa dilakukan.

“Bagi semua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, saya dengan ini memanggil tertuduh untuk membuat pembelaan.

“Selepas membuat penilaian maksimum, saya dapati pihak pendakwaan membuktikan intipati bagi semua 21 pertuduhan (pengubahan wang haram).

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh untuk membela diri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini