comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN tangkap gajah musnah tanaman penduduk Lojing

Gajah liar yang berjaya ditangkap di Lojing, Gua Musang, Jumaat lalu. – FOTO: Ihsan PERHILITAN

GUA MUSANG: Seekor gajah jantan yang memusnahkan tanaman penduduk di Lojing, di sini, ditangkap Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan awal bulan lalu mengenai gajah terbabit yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman kebun di Lojing.

Katanya, bertindak atas aduan terbabit, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap gajah berkenaan berhampiran Hentian Eco R&R Lojing, Gua Musang.

“Tangkapan gajah liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan itu seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.

“Operasi pemindahan dan pelepasan gajah ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

“Operasi pemindahan ini turut membabitkan kakitangan Jabatan PERHILITAN Kelantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya tindakan bagi mengurangkan konflik di kawasan berkenaan sudah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah mitigasi.

Katanya antara tindakan yang sudah diambil adalah memasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun, penduduk dinasihatkan membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kebun.

“Tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing serta HSK Sungai Brooke.

“Dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini lebih 30 ekor,” katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini