Gerik: Dua ekor harimau kumbang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kompleks Perikanan Darat Banding dalam tempoh seminggu.
Menerusi kenyataan di media sosialnya Jabatan itu berkata, harimau kumbang kedua ditangkap menerusi satu operasi kira-kira 8.30 malam tadi di kompleks itu, selepas spesies sama ditangkap di lokasi sama pada Rabu lalu.
“Harimau ini individu kedua ditangkap di lokasi yang sama dalam masa seminggu. Ia berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang operasi tangkapan ini dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, semalam.
Menurutnya lagi, kedua-dua haiwan terbabit sudah selamat dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan bantuan kakitangan daripada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).
Terdahulu, Perhilitan memaklumkan tangkapan harimau kumbang pertama yang dijalankan pada Rabu lalu, adalah susulan dari operasi tangkapan spesies sama oleh Perhilitan pada 11 Januari lalu juga di lokasi sama.
Pada 11 Januari lalu, harimau kumbang betina seberat 16 kilogram (kg) selamat dipindah dari kompleks sama dan dilepaskan ke habitat yang sesuai oleh NWRC Sungkai, selepas ia memasuki perangkap yang dipasang dalam kawasan kompleks sejak 4 Januari lalu.-HARIAN METRO