SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor menyelamatkan seekor burung spesis Hereng (Vulture) atas jejambat berhampiran pusat beli belah di i-City dekat sini, pagi semalam.
Pengarah PERHILITAN Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, burung berkenaan ditemui dalam keadaan lemah dipercayai tersasar dari laluan penerbangannya (flyway).
Katanya, pihaknya terdahulu menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11 pagi berkenaan dengan penemuan seekor burung di atas jejambat berkenaan.
“Sepasukan kakitangan PERHILITAN Daerah Shah Alam kemudian ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap burung tersebut.
“Pengecaman awal spesies menunjukkan burung ini daripada spesies Hereng (Vulture) yang mana ia dikategorikan Near Threatened (NT) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
“Ia merujuk kepada spesis yang tidak diklasifikasikan sebagai terancam, tetapi berisiko menjadi terancam dalam masa terdekat jika tekanan terhadap populasi mereka berterusan atau bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau berkata, burung berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk pemeriksaan serta rawatan kesihatan selanjutnya.
Katanya, insiden berkenaan pernah direkodkan sebelum ini membabitkan spesis burung yang sama di Malaysia.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Adib berkata, burung hereng kebanyakannya hidup di kawasan tinggi pergunungan Himalaya dan Dataran Tinggi Tibet.
Katanya, ia tersebar dari Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, dan Iran hingga ke Pakistan, India, Nepal, Bhutan, barat China, dan Mongolia.
“Burung hereng berada dalam kawasan flyway Asia Tengah (Central Asian Flyway) yang merangkumi laluan migrasi burung yang bergerak dari Asia Tengah, pergunungan Himalaya, hingga ke Asia Selatan dan Asia Tenggara,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd Adib turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.