comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN sahkan kewujudan 2 buaya di Sungai Bagan Terap

SUNGAI BESAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mengesahkan kehadiran dua buaya di Sungai Bagan Terap, di sini pada Selasa lalu.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima video berhubung haiwan liar itu yang tular di laman sosial sebelum mengarahkan pegawainya ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Kami menemubual individu yang memuat naik video tersebut. Hasil temubual, video itu dirakam pada jam 9 malam 12 November lalu.

Seorang pegawai PERHILITAN Selangor melakukan pemantauan di Sungai Bagan Terap, Sungai Besar susulan kemunculan dua ekor buaya di situ pada Selasa lalu. – FOTO: Ihsan PERHILITAN Selangor

“Individu berkenaan datang ke jeti Bagan Terap bagi melihat dan memantau sampannya. Sejurus tiba, dia ternampak dua ekor buaya anggaran panjang 1.5 meter timbul di permukaan sungai.

“Individu itu mengambil telefon bimbitnya dan merakamkan kejadian terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wan Mohd Adib berkata, mengikut temubual bersama beberapa penduduk yang hadir ketika siasatan, mereka juga sedia maklum Sungai Bagan Terap itu adalah habitat asal buaya.

“PERHILITAN Selangor menasihatkan penduduk agar berhati-hati apabila melakukan aktiviti di sungai dan segera melaporkan kepada kami sekiranya ternampak kelibat hidupan liar tersebut selain tidak mengambil tindakan bersendirian.

“Sebarang aduan dan maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini