comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN sahkan ada kelibat ‘pak belang’ di Pos Kuala Mu dan Kampung Sahom

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan adanya kelibat harimau belang dikesan di dua lokasi berasingan di negeri ini.

Lokasi terbabit ialah di Pos Kuala Mu, Sungai Siput dan di Kampung Sahom, Kampar.

Menurut Pengarahnya, Yusoff Shariff,  Kuala Mu yang merupakan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli, sememangnya berdekatan dengan habitat pak belang iaitu di Hutan Simpan Piah.

Katanya, manakala di Kampung Sahom juga kawasan berkenaan turut berdekatan dengan hutan iaitu Hutan Simpan Salu dengan pihaknya mengandaikan harimau yang dikesan dekat perkampungan itu mungkin tersesat.

“Ya betul, macam di Kuala Mu ia sememangnya berdekatan habitat haiwan itu iaitu Hutan Simpan Piah, sementara di Kampung Sahom ia berdekatan Hutan Simpan Salu.

“Di Kampung Sahom mungkin harimau berkenaan terlajak ketika cari makan memandangkan babi hutan dekat kawasan itu berkurangan akibat wabak demam babi Afrika (ASF),” katanya.

Menurutnya, ketika ini pihaknya sudah memasang kamera perangkap di kedua-dua lokasi itu, dalam pada penduduk sekitarnya turut diingatkan supaya tidak melakukan provokasi terhadap haiwan itu jika terserempak.

Sejak semalam, tular rakaman berdurasi tujuh saat memaparkan kelibat harimau yang dikatakan ada sebanyak tiga ekor, dilihat berada di tepi jalan dengan kehadiran mereka sempat dirakam oleh pengguna jalan raya dengan rakaman itu dikatakan diambil di Kuala Mu.

Selain rakaman itu, turut tular adalah rakaman memaparkan pihak Pejabat Penerangan Daerah Kampar sedang melakukan hebahan bergerak menggunakan van dilengkapi pembesar suara yang mengingatkan agar penduduk di Kampung Sahom mengambil langkah waspada susulan penampakan harimau yang mula dilaporkan sejak 22 Oktober lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini