Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN pertimbang pindah gajah ceroboh Kampung Basung jika gagal halau

Mayat Musa ditemui selepas dilaporkan hilang semalam. – Foto Ihsan Bomba (Gambar kecil: Musa ketika menunjukkan tanaman didakwa dirosakkan gajah liar, dalam laporan media minggu lalu)

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mempertimbang tindakan pemindahan gajah liar yang berkeliaran di sekitar Kampung Basung, dekat sini sekiranya usaha menghalau haiwan itu tidak berhasil.

Pengarahnya, Loo Kean Seong, berkata ketika ini pihaknya masih menggerakkan operasi menghalau gajah terbabit ke kawasan lain terutama selepas kejadian seorang pekebun maut diserang gajah liar pagi tadi.

Sejak minggu lalu, katanya PERHILITAN sudah membuat kawalan dan pemantauan terhadap kumpulan gajah berkenaan menggunakan kaedah menembak bagi menghalau mamalia berkenaan ke hutan.

Bagaimanapun, beliau berkata kawasan terbabit luas dan gajah dihalau ke hutan akan kembali ke kebun dan penempatan penduduk untuk mendapatkan makanan.

PERHILITAN sendiri pernah menangkap beberapa gajah liar sebelum ini di kawasan berhampiran kampung itu.

“Kita (PERHILITAN) amat sedih dengan kejadian ini dan pemantauan sentiasa dilakukan selain operasi menghalau gajah terbabit masih berjalan,” katanya.

Mengenai pemindahan gajah liar, Kean Seong berkata sehingga September tahun ini, lima operasi pemindahan gajah dilakukan di negeri ini membabitkan haiwan itu yang menceroboh penempatan dan mengganggu penduduk kampung.

“Kita nasihatkan penduduk terjejas akibat gangguan haiwan liar terutama gajah segera melaporkan kepada PERHILITAN.

“Ia memudahkan pihak kami mengambil tindakan segera berikutan haiwan itu bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Kita juga nasihatkan pekebun tidak ke kebun berseorangan kerana ini bukan soal gajah saja, malah harimau juga. Kalau boleh ke kebun dua atau tiga orang kerana kawasan berkenaan terdedah hidupan liar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata waris mangsa serangan gajah boleh menghubungi PERHILITAN Hulu Terengganu sekiranya ingin mendapatkan maklumat berhubung tabung bantuan serangan haiwan buas itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini